KOTA BHARU – Solidariti Anak Bachok Tuntut Royalti dan Pendaratan Minyak (Cabar) semalam mengadakan perhimpunan aman disertai 1,000 ahlinya termasuk Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Negeri Kelantan (Royalti).
Pengerusi Cabar, Ahmad Marzuk Shaary berkata, tuntutan itu dibuat sekali lagi supaya pihak berkenaan menurut titah Sultan memberikan hak royalti petroleum kepada rakyat Kelantan.
“Kami kecewa apabila isu petroleum di Kelantan menjadi isu politik dan menunjukkan diskriminasi daripada pihak tertentu.
“Ini penderaan kepada rakyat Kelantan sedangkan jika kilang minyak didirikan di Bachok, ia menjadi pusat bandar yang maju dari segi penempatan dan tumpuan ekonomi,” katanya kepada pemberita semasa Perhimpunan Aman
‘Walk For Royalty’ di pekarangan stesen bas bandar Kota Bharu di sini, hari ini.
Sebelum ini, Royalti pernah mengadakan perhimpunan aman di Jambatan Sultan Yahya Petra dan pekarangan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), malah perhimpunan itu adalah perhimpunan kali ketiga bagi keseluruhan tuntutan royalti, manakala bagi ‘Walk For Royalty’ adalah kali kedua.
Perhimpunan tersebut yang bermula kira-kira jam 2 petang berjalan dengan aman dikawal oleh pihak berkuasa, malah ia turut menyelitkan taklimat ringkas daripada wakil pemuda Pas Kelantan, wakil aktivis Royalti wanita, Aina Sayuti dan wakil aktivis Royalti Cina, Irene Tan.
Ahmad Marzuk berkata, pihaknya turut menyatakan kesangsian pengurusan kewangan dan mendakwa pihak tertentu tidak telus terhadap isu rolyalti petroleum di negeri ini.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd Hafiz Musa berkata, perhimpunan itu diadakan bagi menunjukkan hasrat seluruh rakyat Kelantan yang timbul atas kesedaran semua termasuk anak muda.
“Kita menuntut kerajaan memberikan hak royalti petroleum sebanyak lima peratus di Kelantan dan sebagai kerajaan yang dipilih rakyat secara demokrasi, hasrat rakyat perlu didengari serta diberi haknya.
“Kami turut menuntut pimpinan Umno Kelantan supaya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat untuk menunaikan janji sebelum ini dan bukan menjadi penghalang kepada demonstrasi,” dakwanya.