Followers

Rang Undang-Undang Hudud Uji Keikhlasan Umno dan PAS

A Kadir Jasin

ADA pembahas bertanya pendapat saya mengenai perbahasan Hudud yang sedang berjalan sekarang. Sejak hal ini dibangkitkan berdekad-dekad lalu, saya telah banyak kali mengulas mengenainya.

Isu pokoknya sama. Hudud dan Qisas adalah asas kanun jenayah Islam. Itulah kefahaman umum mengenainya. Daripada sudut politik ia adalah antara perjuangan pokok Parti Islam se Malaysia (PAS). PAS juga mengidamkan penubuhan negara Islam.

Namun ada beberapa perbezaan dalam pusingan terbaru perbahasan isu ini. Antaranya:-

1. Ia adalah tindak balas langsung kepada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 dan perkembangan-perkembangan yang berkaitan dengannya.

2. Semua parti politik nasional yang dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat mengalami kejutan besar dalam PRU 5 Mei tahun lalu akibat isu-isu agama dan kaum yang dimainkan.

3. Kepemimpinan politik hilang kawalan ke atas isu-isu berkenaan, termasuk yang mereka sendiri ketengahkan, akibat kebanjiran media dan penyertaan cergas badan-badan bukan kerajaan (NGO).

4. Umno terkejut besar, marah dan kecewa apabila BN ditolak oleh pengundi bukan Melayu, khususnya Cina, yang diberikan dan dijanjikan pelbagai habuan dan peruntukan. Akhirnya orang Melayu luar bandar yang menyelamatkan Umno dan BN daripada dihanyutkan oleh tsunami Cina. Parti-parti Cina dan India BN ditolak oleh kaum mereka sendiri. Kalau tidak kerana Melayu kampung dan anak negeri Sarawak dan Sabah, BN telah kecundang.

5. PAS pula telah mula menyedari bahawa persekongkolan dengan DAP dan PKR telah membawa padah kepadanya. Ia terpaksa menyampingkan agenda-agenda Islamnya demi mendapatkan penerimaan DAP dan PKR, tetapi keputusan PRU 2013 tidak memihak kepadanya. PAS muncul sebagai parti paling lemah dalam PR di segi bilangan kerusi Parlimen.

6. Jadi PAS terpaksa memikirkan semula pendiriannya mengenai Hudud. Pelaksanaan Hudud di Kelantan adalah agenda yang boleh menyegarkan semula parti itu tanpa bergantung kepada DAP dan PKR. Kelantan telah pun meluluskan Rang Undang-Undang Hudud dan sudah pun mewartakannya. Cuma ia tidak boleh dilaksanakan kerana bercanggah – ultra vires - dengan Perlembagaan Persekutuan.

7. Sebelum ini, pendirian Umno menjadi penghalang kepada pelaksanaan enakmen itu. Tetapi selepas PRU 2013 dan akibat apa yang dilihat sebagai cabaran terhadap kedudukan istimewa agama Islam, khususnya tuntutan aktivis Kristian untuk menggunakan kalimah Allah, pendirian Umno mengenai Hudud dan terhadap PAS menjadi bertambah lembut.

NGO Melayu/Islam Cabar Kuasa Umno dan PAS

8. Umno dan PAS turut menghadapi cabaran yang semakin kuat daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu/Islam yang mempertikaikan komitmen kedua-dua buah parti Melayu/Islam itu terdapat hal-hal berkaitan agama dan bangsa. Badan-badan bukan kerajaan ini boleh melemahkan keyakinan dan sokongan orang Melayu terhadap Unmo dan PAS.

9. Kita tunggu dan lihat sama ada Umno akan benar-benar menyokong pelaksanaan Hudud di Kelantan dengan tidak menghalang cadangan Pas membentangkan rang undang-undang bukan kerajaan (private member’s bill) di Parlimen dan seterusnya mengundi menyokong rang undang-undang itu.

10. Perdana Menteri dan Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak, dilaporkan berkata Umno akan mendengar penerangan PAS tetapi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohammed, pula berkata Ahli Parlimen Umno dari Kelantan akan menyokong rang undang-undang itu.

11. PAS perlu bersedia menjawab hujah Ahli Parlimen, khususnya yang bukan Islam, dengan memastikan semua isu teknikal (seperti siapa akan kerat tangan si pencuri) diatasi kerana inilah modal penentang Hudud dan Qisas.

12. Akhir sekali, isu ini menguji sama ada Umno dan PAS boleh berfikir dan bertindak di luar kerangka politik kepartian dan sebaliknya mengutamakan kepentingan agama dan bangsa yang mereka wakili. Wallahuaklam.

A KADIR JASIN